Thursday, December 17, 2009

Esok, Segalanya Pasti Berubah ! (Full version)

(This story was published in Fokus SPM magazine : April 2006)

Aku merupakan pelajar tingkatan tiga di salah sebuah sekolah kerajaan yang terletak di Kuala Lumpur. Sebagai seorang pegawai kerajaan, papaku selalu saja sibuk. Dalam seminggu, mungkin tiga atau empat kali sahaja aku dapat melihat batang hidungnya. Mama pula asalnya seorang suri rumah. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dia selalu saja tiada di rumah kerana terlibat dengan pelbagai program persatuan yang disertainya.


Kini, aku kesunyian. Abang dan kakakku masing-masing sedang melanjutkan pelajaran di California Institute of Technology dan Universiti Melbourne. Oleh sebab kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa, aku mula menyertai satu kumpulan pelajar nakal. Aktiviti kumpulan ini termasuklah merokok, ponteng, dan bermacam-macam lagi aktiviti yang melanggar peraturan sekolah.


Di sekolahku, aku diminati oleh banyak pelajar perempuan kerana aku seorang yang kacak dan bergaya. Namun begitu, aku tidak penah menyimpan perasaan terhadap salah seorang pun daripada mereka. Bukan kerana mereka tidak cantik, tetapi aku tahu mereka tidak ikhlas kerana mereka hanya mahu mengambil kesempatan atas kekayaan papaku. Jadi, sebagai seorang yang suka bersosial, aku selalu berdating dengan pelbagai jenis perempuan. Oleh sebab itu, aku mendapat gelaran playboy.

***********

Satu hari semasa waktu rehat, kumpulanku cuba untuk memanjat pagar sekolah apabila seorang pengawas perempuan meluru ke arah kami sambil menjerit, "Hoi, kamu semua buat apa hah ? Kamu nak panjat pagar ya?"

Lantas ketua kumpulanku yang sedang memanjat pagar turun sambil menjawab, "Memang kita orang nak panjat pagar sekolah. Kau susah kah ?"

Pengawas itu membalas dalam keadaan tenang dan suara yang lembut, "Saya memang tak susah kalau kamu semua panjat pagar sekolah tu, tapi yang susah nanti kamu semua dan pihak sekolah. Cuba kamu tengok pagar yang banyak duri tu." Kami semua memandang ke arah pagar itu dengan pandangan jakun kerana mahu menyindir pengawas sekolah itu.

Kemudian, pengawas yang bernama Batrisya itu menyambung, "Tajam, kan ?" Kalau salah seorang daripada kamu tersangkut macam mana? Sakit tau kalau tersangkut. Kamu juga yang menderita. Apabila dah kena, susahkan cikgu pula untuk jadi driver hantar you guys ke klinik.After that, you guys salahkan cikgu pula. Kamu..."

Aku pantas memintas kata-kata Batrisya yang berlagak seperti pakar kaunseling itu, "Cik pengawas, terima kasihlah sebab sudi tegur kami. Kami tak rugi, Cik Batrisya yang membazir masa kerana menyiram air ke daun keladi." Kemudian aku dan kawan-kawanku ketawa sambil berlalu pergi. Semasa berjalan, sempat juga aku melihat wajah Batrisya yang merah padam.

**********

Seperti biasa, selepas sekolah aku melepak dengan rakan-rakanku yang sama-sama anak orang berada sepertiku iaitu Arman, James, Ganesh, Sathiya, dan Yazid. Walau bagaimanapun, agenda kami berbeza pula kali ini. Arman sebagai ketua kumpulan telah merancang strategi untuk mengenakan Batrisya. Aku yang macho ini pula dijadikan umpan. Walaupun kami pelajar nakal, kami tidak pernah mencuri dan menghisap dadah. Setelah perbincangan diadakan selama lebih kurang satu jam, kami berpisah.

************
Semasa waktu rehat pada keesokan hari, aku pergi ke tempat Batrisya bertugas iaitu di kawasan berhampiran tempat letak basikal. Dari jauh kulihat dia sedang menulis sesuatu pada buku kecilnya. Lalu aku pun menghampirinya.

Dia yang sedar akan kehadiranku lantas berkata, "Apa awak buat di sini? Nak jadi monyet lagi?" Aku pun membalas, "Saya datang sini dengan niat baik. Tak patut awak tuduh saya."

Batrisya menjawab sambil memandang sinis, "Niat baik? Tell me."

"Saya nak ajak awak keluar date tomorrow evening. Awak free tak?" kataku.

"Oh, nak ajak saya dating rupanya. Boleh, di mana?" balas Batrisya.

"Mid Valley. Saya tunggu awak depan pagar sekolah utama pukul dua petang. Anyway Batrisya, saya Haris Danial. Just call me Danial. See you tomorrow," kataku sambil memberikan flying kiss. Batrisya hanya senyum kambing terhadap reaksiku sebentar tadi.

**********
Tepat pada pukul dua petang, aku terus pergi ke pagar sekolah utama seperti yang dijanjikan semalam. Aku memang seorang yang menepati masa. Namun, selepas beberapa minit menunggu, kelibat Batrisya masih tidak kelihatan. Aku mula terfikir, adakah Batrisya ingin mengenakanku? Walau bagaimanapun, tanggapanku mati begitu sahaja apabila dari jauh kulihat Batrisya melambai-lambai ke arahku. Aku membalas lambaiannya dengan senyuman.

Apabila dia tiba di pintu pagar utama, dia segera berkata, "I'm sorry. Tadi saya solat Zohor dulu." Perutku menjadi kecut apabila mendengar perkataan solat kerana sejak aku menyertai geng Arman, aku sudah mula meninggalkan rukun kedua Islam itu. Aku terdengar Batrisya berkata sesuatu tetapi aku tidak dengar kerana aku sedang memikirkan dosaku yang berganda-ganda.

"Danial!" jerit Batrisya dengan nyaringnya. Jeritan Batrisya telah memecahkan lamunanku.
Aku bertanya, "Ya, ada apa?".

Batrisya berkata, "Ya Allah, kan awak ajak saya pergi Mid Valley. Jomlah."

Aku membalas, "Okaylah, jom." Kami pergi ke Mid Valley dengan menaiki kereta BMW 5 Series warna hitam yang dipandu oleh pemanduku. Tiba saja di Mid Valley, aku terus mengajak Batrisya makan di McDonald's. Aku memilih tempat duduk yang berhampiran dengan kaunter.

Semasa sedang menikmati hidangan, Batrisya memulakan bicara, "Danial, saya tak tahu apa tujuan sebenar awak ajak saya keluar tapi menurut kawan saya, awak ini playboy."

Aku pun menjawab sambil tersengih, "Memang saya playboy, but actually perigi yang cari timba. Saya layan saja dia orang tu, tetapi seorang pun tak pernah bertakhta di hati saya."

Keadaan sunyi seketika. Kemudian Batrisya berkata, "Tetapi dalam hal kita berdua, awak yang cari saya."

"Ini special case sebab saya dah jatuh cinta dengan awak," balasku dengan penuh perasaan seperti yang diajar oleh Arman sambil merenung tepat ke mata Batrisya yang redup itu.

"Awak tipu. Ini sebahagian daripada rancangan geng awak tu, kan?" kata Batrisya sambil merenung tajam ke arahku. Aku tergamam.


Batrisya menyambung sambil matanya yang redup itu memandang tepat ke arah anak mataku, "Saya dah lama jadi pengawas sekolah. Ini bukan kali pertama orang pura-pura tackle saya, kemudian kenakan saya. Kalau betul awak ikhlas dengan saya, berubahlah. Jadilah manusia yang berguna dan membanggakan ibu bapa. Jangan bergaul dengan pelajar-pelajar nakal tu. Orang macam tu tak ada masa depan, melainkan mereka juga berubah. Ramai orang diberikan peluang kedua untuk berubah, tapi mereka tak hargainya. Saya tak nak awak termasuk dalam golongan itu. Saya tahu awak asalnya seorang pelajar yang tak bermasalah, tetapi mungkin faktor persekitaran yang menjadikan awak begini. Rakan sebaya, ibu bapa, masyarakat semuanya menyumbang kepada kejatuhan moral dalam kalangan remaja masa kini."

Aku tertunduk mendengar ayat-ayat yang baru diluahkan oleh Batrisya.

Kemudian, Batrisya menyambung lagi, "Sekarang, saya mahu awak berubah, Danial. Bukan untuk saya, tetapi untuk diri awak sendiri. Fikirkanlah kata-kata saya ini."

Tanpa kusedari, aku menitiskan air mata, satu respons yang sudah lama kutinggalkan. Apatah lagi untuk menggugurkan manik-manik jernih di hadapan seorang insan yang jantinanya perempuan. Aku diselubungi rasa bersalah. Wajah mama, papa, Abang Danish dan Kak Danisha menari-nari di mataku.

Kemudian aku berkata, "Saya berjanji dengan awak, Batrisya. Saya akan menjadi insan yang berguna. Percayalah, saya akan berubah." Perkataan yang kututurkan ini lahir daripada hatiku yang ikhlas, bukannya skrip rekaan Arman.

Batrisya membalas sambil mengukir senyuman menawan, "Saya pegang janji awak. Saya percaya awak akan berubah." Aku membalas senyumannya dan memandang tepat ke arah matanya yang bersinar-sinar itu. Kami saling memandang. Pada masa itu, aku rasa skrip rekaan Arman sudah menjadi realiti. Perasaanku terhadap Batrisya telah mula berputik.

***********
Sebelum tidur pada malam itu, kata-kata Batrisya terngiang-ngiang di telingaku. Wajahnya yang putih gebu itu pula terbayang di fikiranku. Hatiku sudah terpaut pada Aleya Batrisya, seorang pengawas sekolah yang memberi sinar baru dalam hidupku. Esok, segalanya pasti berubah !

p.s : Gaya bahasa cerita ini telah diubah sedikit daripada yang asal mengikut keselesaan saya...