Wednesday, December 16, 2009

Esok, Segalanya Pasti Berubah ! (4)

Batrisya menyambung sambil matanya yang redup itu memandang tepat ke arah anak mataku, "Saya dah lama jadi pengawas sekolah. Ini bukan kali pertama orang pura-pura tackle saya, kemudian kenakan saya. Kalau betul awak ikhlas dengan saya, berubahlah. Jadilah manusia yang berguna dan membanggakan ibu bapa. Jangan bergaul dengan pelajar-pelajar nakal tu. Orang macam tu tak ada masa depan, melainkan mereka juga berubah. Ramai orang diberikan peluang kedua untuk berubah, tapi mereka tak hargainya. Saya tak nak awak termasuk dalam golongan itu. Saya tahu awak asalnya seorang pelajar yang tak bermasalah, tetapi mungkin faktor persekitaran yang menjadikan awak begini. Rakan sebaya, ibu bapa, masyarakat semuanya menyumbang kepada kejatuhan moral dalam kalangan remaja masa kini."

Aku tertunduk mendengar ayat-ayat yang baru diluahkan oleh Batrisya.

Kemudian, Batrisya menyambung lagi, "Sekarang, saya mahu awak berubah, Danial. Bukan untuk saya, tetapi untuk diri awak sendiri. Fikirkanlah kata-kata saya ini."

Tanpa kusedari, aku menitiskan air mata, satu respons yang sudah lama kutinggalkan. Apatah lagi untuk menggugurkan manik-manik jernih di hadapan seorang insan yang jantinanya perempuan. Aku diselubungi rasa bersalah. Wajah mama, papa, Abang Danish dan Kak Danisha menari-nari di mataku.

Kemudian aku berkata, "Saya berjanji dengan awak, Batrisya. Saya akan menjadi insan yang berguna. Percayalah, saya akan berubah." Perkataan yang kututurkan ini lahir daripada hatiku yang ikhlas, bukannya skrip rekaan Arman.

Batrisya membalas sambil mengukir senyuman menawan, "Saya pegang janji awak. Saya percaya awak akan berubah." Aku membalas senyumannya dan memandang tepat ke arah matanya yang bersinar-sinar itu. Kami saling memandang. Pada masa itu, aku rasa skrip rekaan Arman sudah menjadi realiti. Perasaanku terhadap Batrisya telah mula berputik.

***********

Sebelum tidur pada malam itu, kata-kata Batrisya terngiang-ngiang di telingaku. Wajahnya yang putih gebu itu pula terbayang di fikiranku. Hatiku sudah terpaut pada Aleya Batrisya, seorang pengawas sekolah yang memberi sinar baru dalam hidupku. Esok, segalanya pasti berubah !

tamat...

p/s : Gaya bahasa cerita ini telah diubah sedikit daripada yang asal mengikut keselesaan saya....