Saturday, January 9, 2010

Andainya Aku Tahu (1)

KRING ! Loceng berbunyi menandakan berakhirnya sesi persekolahan pada hari tersebut. Suasana menjadi riuh rendah di persekitaran sekolah dan kelas 4 Setia juga tidak terkecuali. Semua pelajar kelihatan sibuk mengemas buku masing-masing setelah mengucapkan "terima kasih" kepada guru yang mengajar subjek terakhir pada hari itu. Beberapa minit kemudian, suasana yang riuh rendah tadi kembali tenang apabila para pelajar beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing.

Seperti biasa, aku menunggu ibu yang akan datang mengambilku di hadapan pagar utama. Sambil menunggu, aku mengisi masa terluang dengan membaca majalah kegemaranku, FOKUS SPM. Pepatah Arab ada menyebut, "masa ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, pedang itu akan memotong kamu." Pada fikiranku, lebih baik masa yang terluang itu aku gunakan untuk menambah ilmu pengetahuan sementara menunggu ibu datang untuk menjemputku pulang ke rumah.

Baru beberapa minit majalah kesayanganku itu dibaca, suara seorang wanita yang amat kukenali menghentikan pembacaanku. Aku menoleh dan melihat ibu tersenyum dari dalam kereta. Aku membalas senyumannya dan berjalan menuju ke kereta berwarna merah milik ibu. Semasa dalam kereta, ibu biasanya akan bertanya tentang pembelajaran dan apa-apa yang aku lakukan sepanjang hari. Itulah rutin ibu setiap kali aku pulang dari sekolah. Namun begitu, aku tidak pernah rasa terkongkong mahu pun jemu dengan soalannya kerana aku tahu ibu amat prihatin terhadapku dan anak-anaknya yang lain.

Ayahku berjawatan Pengarah Pengurusan di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka. Ibuku pula pemilik sebuah butik pengantin di Subang Jaya. Aku amat bertuah kerana dibesarkan dalam keluarga yang stabil dan cukup segala-galanya. Meskipun kami berada dalam keluarga yang boleh dikatakan senang, hubunganku amat dingin dengan kakak yang lebih mesra kupanggil Kak Piya. Entah mengapa sejak kecil lagi kami tidak pernah 'sekepala'. Setiap tindakanku ada sahaja cacat cela di matanya.

*********
Hari ini seperti biasa aku menunggu ibu. Sudah hampir setengah jam aku menunggu, tetapi ibu masih belum menunjukkan batang hidungnya. Aku menjadi risau memikirkan sesuatu yang buruk mungkin berlaku pada ibu. "Mungkin dia ada urusan yang perlu diselesaikan. Maklumlah, ahli perniagaan yang berjaya," jawab hati kecilku sekadar menenangkan fikiran.

Aku perhatikan keadaan sekeliling dan tiba-tiba mataku tertancap pada sebuah kereta BMW 5 Series berwarna perak yang diletak berhampiran dengan sekolahku. Mataku tertumpu kepada pemandunya, seorang wanita yang aku kira berusia dalam lingkungan 40-an. Entah mengapa gelagat dan dirinya itu begitu menarik perhatianku. Seolah-olah kami mempunyai kaitan yang sukar aku mengertikan.

Tiba-tiba wanita itu menoleh ke arahku. Dia mengukir senyuman yang menawan. Secara spontan aku pun membalas senyumannya itu. Sedang kami saling berpandangan, ibu pun tiba dan keretanya menghalang pandangan kami. Ibu menurunkan cermin keretanya dan memanggilku untuk masuk ke dalam kereta. Aku cuba memerhatikan kereta wanita tersebut lagi tetapi gagal mengesannya. Mungkin dia sudah berlalu sewaktu aku menaiki kereta tadi.

Setiap hari Sabtu aku akan menghadiri kelas tambahan di salah sebuah pusat tuisyen yang berdekatan dengan rumahku. Sedang aku berjalan, tanpa kusangka, aku berselisih dengan wanita misteri tersebut sekali lagi. Kami saling berbalas senyuman dan mata wanita itu seakan cuba menyampaikan sesuatu. Tiba-tiba wanita itu memanggil namaku. "Iqlima Alina!"

Aku terkesima. Aku menoleh dan terus bertanya kepadanya bagaimana dia boleh mengetahui namaku. Wanita itu tergamam untuk seketika. Tidak lama kemudian dia menjawab dengan tergagap-gagap.
"Auntie...auntie...tahulah. Panjang ceritanya."
Selepas itu dia terus berlalu pergi ketika aku belum sempat bertanya apa-apa. Puas sudah aku memanggilnya namun dia terus berlalu tergesa-gesa. Sekali lagi aku ditinggalkan dengan seribu tanda tanya.

*********
to be continued...