Tuesday, January 12, 2010

Andainya Aku Tahu (3)

Seminggu sudah berlalu sejak aku terlantar sakit di hospital dan mengalami situasi yang masih tiada jawapannya lagi. Sehingga satu hari ibu mengetuk pintu bilikku.

"Qima, ini surat untuk Qima," kata ibuku sambil menghulurkan sepucuk surat yang bersetem dari luar negara. Aku pun membaca surat itu yang tertulis seperti berikut :


No. 315-7
Rue Eiffel
70503 Paris
France.
1 Disember 2006

Menemui anakanda Iqlima Alina binti Iqmal. Semoga anakanda sentiasa berada dalam keadaan sejahtera selalu. Keadaan bonda di sini tidak berapa baik berikutan beberapa faktor usia bonda yang semakin meningkat.

Anakanda,
Bonda pasti anakanda tertanya-tanya dengan panggilan anakanda dan bonda yang digunakan dalam warkah ini. Mungkin hal ini baru buat anakanda. Namun, persoalan yang selama ini bermain di fikiran anakanda akan terungkai satu-persatu selepas anakanda membaca surat ini.

Tujuan bonda menulis surat ini adalah untuk menerangkan tentang hubungan kita. Hubungan yang dipisahkan oleh orang yang tidak berhati perut. Jika anakanda ingin tahu, bonda ialah ibu kandung anakanda. Nama bonda, Diyana binti Dahlan dan bonda berasal dari Kuala Lumpur. Bonda dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang senang. Arwah ayahanda bonda iaitu datuk anakanda merupakan pemilik sebuah kilang roti di Kuala Lumpur. Segala-galanya begitu indah dalam hidup bonda sehingga pada satu hari perniagaan roti datuk anakanda telah dirompak. Kejadian itu begitu tragis sekali dalam ingatan bonda. Belum pun sempat keluarga bonda membuat laporan polis, perompak itu telah membunuh ayahanda bonda.

Ibarat "sudah jatuh ditimpa tangga", ayahanda anakanda turut terkorban ketika sedang mempertahankan kita berdua. Dalam keadaan yang sangat genting itu, bonda terpaksa meninggalkan anakanda di tempat yang lebih selamat. Surat beranak anakanda juga bonda selitkan bersama bakul yang menempatkan anakanda. Kemudian, bonda letakkan anakanda di hadapan sebuah kedai.

Bonda terpaksa melakukannya kerana bimbang akan keselamatan anakanda. Bonda tidak mahu anakanda turut terkorban dan keturunan bonda hilang begitu sahaja memandangkan bonda tidak mempunyai saudara-mara lain kerana semuanya terkorban dalam kejadian yang sama. Bonda cuba mencari anakanda selepas itu namun gagal. Penjenayah itu juga sudah menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.

Selepas gagal menemui anakanda, bonda terus berhijrah ke Paris. Bonda baru sahaja pulang ke Malaysia pada bulan lepas semata-mata untuk mencari dan berjumpa dengan anakanda. Bonda pulang ke Malaysia dengan satu harapan iaitu mahu mendengar meskipun sekali anakanda memanggil bonda "mama". Sekali sahaja sudah cukup untuk buat bonda gembira. Walau bagaimanapun, hajat bonda tidak kesampaian. Bonda tidak ada banyak masa lagi. Kalau boleh bonda ingin mendengar panggilan "mama" daripada mulut anakanda sebelum bonda pergi.

Sewaktu anakanda membaca warkah ini, bonda sudah pun berada di Paris. Bonda perlu pulang segera ke sini memandangkan keadaan kesihatan bonda yang tidak memuaskan. Untuk pengetahuan anakanda, bonda menghidap kanser otak tahap terakhir.

Sebelum bonda mengakhiri warkah ini, maafkan bonda kerana meninggalkan anakanda ketika anakanda memerlukan bonda. Mujurlah Sarah dan Iqmal mengambil anakanda sebagai anak angkat. Memang kebetulan nama ayah kandung anakanda sama dengan nama ayah sekarang. Mungkin telah ditakdirkan begitu. Mereka telah menjaga anakanda dengan bak dan tidak sampai hati bonda untuk mengambil anakanda daripada mereka. Sampaikan salam terima kasih bonda kepada ibu dan ayah angkat anakanda. Sekian, terima kasih.

Yang menyayangimu,
Bonda Diyana


Kupeluk surat itu semahunya. Aku tidak dapat menahan diriku daripada menangis teresak-esak. Aku tidak menyangka wanita misteri itu rupa-rupanya ibu kandungku sendiri. "Mama...maafkan Qima," jeritku dalam hati.

*********

Setahun berlalu, ibu dan ayah membawaku ke Paris untuk bertemu dengan mama. Setibanya di sana, kami terus menuju ke hospital yang menempatkan mamaku. Keadaan mama amat kritikal. Dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Aku terus mencium tangannya sewaktu melawatnya. Mamaku tersenyum dengan wajahnya yang kelihatan amat pucat sambil menitiskan air mata.

"Mama, Qima datang mama," bisikku ke telinga mama. Perlahan-lahan matanya yang dipejam sebentar tadi dibuka dan mama tersenyum lagi. Dia merenung dalam ke mataku dan tiba-tiba mama mengalami kesukaran untuk bernafas. Aku panik. Ibu memintaku pergi berhampiran dengan wajah mama dan aku menuruti arahannya. Aku dapat mendengar mama mengucap dua kalimah syahadah. Aku menggenggam erat tangannya. Suasana terus senyap dan kami hanya boleh mendengar bunyi mesin pernafasan menandakan mama sudah tiada.

Andainya kutahu lebih awal, akan kuhargai dirimu mama. Andainya kutahu lebih dahulu, akan kuungkapkan perkataan itu yang ingin dirimu dengar mama. "Mama, Qima sayang mama."