Monday, January 11, 2010

Andainya Aku Tahu (2)

Pergaduhan adik-beradik memanglah perkara biasa bagi sesetengah keluarga. Namun, aku dan Kak Piya atau nama sebenarnya Sofia Alina sering sangat bergaduh meskipun disebabkan perkara kecil. Tetapi pergaduhan kali ini adalah pergaduhan terbesar yang akan merubah hidupku buat selama-lamanya. Aku seakan tidak menyangka perkataan 'keramat' ini terpacul keluar dari mulutnya.


"Kau ni memang tak sedar diri. Anak pungut!" tengking kakakku. Aku terkedu.

"Benarkah apa yang aku dengar sebentar tadi? Benarkah aku ini anak pungut?" aku bermonolog sendirian. Tanpa aku sedari manik-manik jernih gugur daripada mataku. Aku memandang tepat ke arah Kak Piya dan ibu.

"Ibu, benarkah apa yang Kak Piya kata tadi?" soalku dan ibu pula hanya membisu seribu bahasa.

"Ibu, jawablah. Betulkah Qima ni anak pungut?" soalku lagi.

"Jangan kata macam tu, nak," jawab ibu sambil cuba menenangkan hatiku.

"Ya atau tidak ?" Aku terus mendesak ibu bagi mendapatkan kepastian.

Akhirnya ibu mengalah. "Ya," jawabnya ringkas.

Meskipun ringkas, jawapan itu begitu menghiris hatiku. Air mata yang sudah bergenang di kelopak mataku sejak tadi akhirnya gugur dengan deras. Aku menggeleng-gelengkan kepala tidak dapat menerima apa yang aku dengar dan tanpa berfikir panjang, aku terus berlari meninggalkan ibu keseorangan di ruang tamu.

"Qima!" teriak ibu.

Aku tidak mengendahkannya dan terus berlari keluar dari rumah dengan berkaki ayam dan tanpa arah tujuan. Tiba-tiba aku berdepan dengan satu cahaya jingga menyilaukan pandangan mata disertai bunyi hon yang panjang. Sepantas kilat, "Bamm!!" Aku dilanggar oleh sebuah kereta. Duniaku berputar, mataku kelam dan aku tersungkur menyembah bumi.



*********

"Eh, dia dah sedar," kata seseorang tetapi aku tidak cam milik siapakah suara itu. Aku membuka kelopak mata perlahan-lahan dan akhirnya aku dapat melihat wajah ibu, ayah, Kak Piya, adikku Iqbal dan seseorang yang baru kukenali iaitu wanita misteri itu.

Pelik. Bagaimana dia tahu aku terlantar di hospital Adakah dia dan ibu saling mengenali ? Ah, terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiranku, desis hati kecilku. Aku pendamkan sahaja persoalan itu di minda yang terasa begitu berat ketika itu. Untuk mengangkat kepala pun aku tidak terdaya.

"Dah tiga hari Qima koma. Ibu risau sangat," ibu memulakan bicara.

"Tiga hari?" aku membalas sambil wajahku mempamerkan perasaan tidak percaya bahawa sudah selama itu aku tidak sedarkan diri. Aku tidak mampu duduk lalu aku memberi isyarat agar aku dapat berbisik ke telinga ibu.

"Ibu, siapakah wanita itu?" tanyaku.

Ibu berdiri dan memandang wanita yang aku maksudkan. Kemudian, dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menjawab, "Ibu tidak boleh beritahu siapa dia tetapi dia adalah seseorang yang penting dalam hidup Qima."

Tiba-tiba wanita itu meminta diri untuk pulang. Katanya ada hal mustahak yang perlu diselesaikan. Aku bersalaman dan mencium tangannya sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih tua. Aku terperanjat tatkala melihat rantai yang dipakainya sama seperti rantai milikku. Adakah ini satu kebetulan? Cetus hati kecilku. Aku hanya memerhatikan da keluar dari bilik. Setibanya di pintu wad, aku melihat wanita itu berpatah balik ke arahku.

"Iqlima, boleh tak
auntie nak dengar sekali sahaja Iqlima panggil auntie, mama ?" soalnya dengan penuh harapan.

"Kenapa saya perlu memanggil
auntie mama sedangkan saya ada ibu saya?" balasku.

Wanita itu hanya memandang ibu. Ibu pula hanya menundukkan mukanya. Wanita itu kemudian memandangku kembali. Dengan tidak berkata apa-apa wanita itu keluar meninggalkan wad.

*********
to be continued....